CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, February 11, 2009

ISU GRADUAN MENGANGGUR

ISU GRADUAN MENGANGGUR

Dewasa ini semakin hangat diperkatakan mengenai kualiti pasaran graduan hingga menyebabkan lambakan graduan yang menganggur. Berikut adalah beberapa artikel yang sempat cikgu ekstrak dari beberapa laman web untuk bacaan kamu semua. Cikgu rasa topik ini sangat penting memandangkan ia isu yang hangat dalam bidang pendidikan selain dari isu penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains.


Kemahiran siswazah tidak tepati kehendak pasaran

SISWAZAH kita tidak laku? Kegagalan siswazah mendapatkan pekerjaan walaupun memiliki segulung ijazah menimbulkan tanda tanya adakah mutu siswazah amat rendah sehingga tidak mampu menarik minat pihak syarikat? Atau, adakah bidang yang dipelajari di universiti tidak memenuhi syarat yang dikehendaki pasaran pekerjaan kerana ada pendapat mengatakan kesilapan memilih kursus di pusat pengajian tinggi adalah di antara punca pengangguran siswazah.

Persoalan ini mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan lepasan universiti atau yang masih menuntut di institut pengajian tinggi. Tetapi, itulah hakikat yang terpaksa ditelan walaupun pahit terutama jika siswazah tidak memberi perhatian meningkatkan pengetahuan dan kelebihan diri.

Ia bukan saja membabitkan aspek menonjolkan diri dari segi kelayakan akademik, malah keyakinan diri, ketrampilan dan kemahiran berkomunikasi. Siapa yang perlu disalahkan jika graduan yang dilahirkan universiti mempunyai perasaan malu tidak bertempat, tiada keyakinan diri, tidak tahu bergaul dan tiada usaha memajukan diri?

Kita tidak boleh menyalahkan pihak majikan atau industri kerana sememangnya majikan perlu berhati-hati memilih pekerjaan yang benar-benar layak memandangkan kelulusan akademik belum tentu menjamin mutu kerja yang tinggi. Beberapa teori boleh dikaitkan dengan masalah mengapa siswazah gagal mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Pertama, graduan tidak membuat kajian mengenai kursus yang mempunyai nilai pasaran sebelum memilih jurusan yang ingin diambil apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian ting-gi. Ini kerana bidang yang menjadi popular tahun ini mungkin tidak menjanjikan sebarang jawatan apabila mereka menamatkan pengajian nanti, melainkan bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perakaunan yang sentiasa mempunyai nilai pasaran tinggi.

Teori kedua ialah graduan tidak mempunyai keupayaan meyakinkan majikan menyebabkan timbul pandangan bahawa mereka tidak mampu menjalankan tugas yang diberi. Selain keputusan cemerlang, graduan harus mempunyai kredibiliti kerja yang tinggi dan ini boleh ditimba melalui pembabitan dalam kegiatan kurikulum tambahan, berpersatuan serta aktif mengikuti program yang dianjurkan di pusat pengajian tinggi.

Ketiga ialah pasaran graduan Bumiputera adalah terhad berbanding bukan Bumiputera yang mempunyai monopoli dalam dunia perniagaan. Akibatnya, sama ada graduan Melayu diambil bekerja mengikut kuota kaum yang ditentukan syarikat yang kebanyakan dimiliki oleh bangsa bukan Melayu atau membuktikan nilai pasaran diri untuk berebut dengan graduan bukan Bumiputera. Memang tiada siswazah yang ingin menganggur, tetapi keadaan memaksa ia berlaku dan apa juga alasannya ia memperlihatkan sikap negatif mereka.

Siswazah perlu menilai perkara yang sering diungkapkan pihak majikan iaitu tahap mutu siswazah yang tidak menepati kehendak pasaran pekerjaan menjadi punca kegagalan mereka. Perkara ini acap kali dibangkitkan dan ditekankan. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dr Abdul Latiff Ahmad, pernah mengingatkan siswazah menunjukkan tahap keyakinan diri untuk memasuki pasaran kerja.

Katanya, di antara kelemahan ketara di kalangan graduan adalah sifat malu tidak bertempat, kurang keyakinan berdepan persekitaran serta tidak mahir berkomunikasi mengikut kesesuaian sekeliling.

"Kelemahan graduan sama ada berkeyakinan atau tidak, boleh dikesan sejak sesi temu duga lagi, berdasarkan cara mereka bercakap, menjawab soalan dan gerak badan mereka.

"Kalau tiada kemampuan berkomunikasi, mereka tidak dapat membentuk satu budaya kerja dalam berpasukan. Pergi temu duga pun takut hendak bertentang mata dengan orang yang bertanya soalan," katanya.

Beliau berkata, masalah ini mungkin menjadi penyebab kepada masalah pengangguran bukan saja di kalangan siswazah dari institusi dalam, malah luar negara.

'Usah tunggu disuap, cipta peluang pekerjaan sendiri'

KELULUSAN tinggi semata-mata bukan jaminan untuk mendapatkan pekerjaan, jawatan serta gaji yang tinggi. Apa yang lebih penting, siswazah perlu menggunakan peluang yang diberikan untuk mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Siswazah juga tidak sepatutnya terlalu memilih pekerjaan yang kononnya sesuai dengan tahap kelulusan mereka kerana ada juga pekerjaan di pasaran boleh dilakukan, biarpun tiada kaitan dengan bidang kursus yang diambil. Sikap siswazah lebih rela menganggur daripada melakukan kerja yang tidak diminati atau bergaji rendah jelas menunjukkan sikap tidak matang mereka.

Keangkuhan memiliki kelulusan tinggi menyebabkan mereka mengalami kehidupan lebih malang daripada rakan yang hanya memiliki kelulusan sekolah menengah. Kegagalan melakukan pengubahsuaian hanya akan menyebabkan mereka terus ketinggalan dan ditinggalkan oleh arus perubahan yang sedang berlaku khususnya dalam kehidupan serta dunia pekerjaan yang mencabar.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir yang melahirkan pandangan itu menggesa pelajar membuang tabiat menyalahkan keadaan dan kerajaan apabila gagal mendapatkan pekerjaan.

"Mereka tidak sepatutnya menanti disuap atau menunggu kerja datang kepada mereka, sebaliknya berusaha mencipta peluang pekerjaan sendiri.

"Setiap pekerjaan mempunyai prospek atau masa depan yang baik dengan syarat ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh walaupun terpaksa bermula daripada bawah.

"Nasihat saya agar graduan kita buang sifat ego dan malu untuk melakukan kerja dengan gaji rendah semata-mata hanya kerana mereka lepasan universiti.

"Tidak salah biarpun terpaksa jadi pengawal keselamatan, asalkan ada pekerjaan dan pada masa sama sentiasa mencari peluang pekerjaan lebih baik daripada duduk saja," katanya.

Mahadzir turut menggalakkan siswazah terutama siswazah Bumiputera menjadi lebih berani dan kreatif untuk meneroka bidang pekerjaan yang baru.

Katanya, mereka perlu bersedia mengambil risiko berdepan dengan cabaran apabila menceburi bidang pekerjaan yang tiada hubungan dengan kursus yang dipelajari di institut pengajian tinggi (IPT).

Mahadzir berkata, IPT bukan kilang untuk menghasilkan tenaga buruh tetapi berfungsi sebagai pusat ilmu yang melahirkan golongan siswazah berilmu, berkeyakinan dan mampu berdikari.

Beliau berkata, asas penubuhan IPT sebagai institusi ilmu yang terunggul harus dipertahankan dan kursus-kursus yang tidak mempunyai nilai komersial tidak sepatutnya diketepikan begitu saja. Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah memberikan penilaian dan pengiktirafan baru terhadap kursus berkenaan mengikut perkembangan zaman dan keperluan pasaran.

"Ini sudah dilakukan oleh IPT kerana dari masa ke semasa pihak universiti membuat penyemakan dari segi kesesuaian dan penggabungan kursus oleh jabatan akademik.

"Kebanyakan IPT mengakui hakikat kepentingan bahasa Inggeris dan sudah mengambil tindakan perlu memastikan siswazah menguasai bahasa itu," katanya.

Beliau berkata, pertambahan bilangan siswazah menganggur amat memalukan dan sedikit sebanyak mencacatkan pandangan terhadap sistem pendidikan negara. Apa pun katanya, setiap pihak terbabit termasuk siswazah dan majikan perlu sedar tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mengatasi masalah ini.

Bagi siswazah, tindakan bekerja sebaik tamat pengajian tanpa mengira jenis pekerjaan dianggap satu usaha permulaan untuk merintis kejayaan pada masa akan datang. Sementara majikan pula, walaupun tidak dihalang mengamalkan sikap terlalu memilih patut juga memberi peluang siswazah menunjukkan kesungguhan membuktikan kemampuan mereka. Dalam erti kata lain, majikan perlu menerima hakikat bahawa siswazah yang baru menamatkan pengajian mempunyai kekurangan tetapi boleh diperbaiki asalkan mereka diberi peluang.

"Contohnya, penguasaan bahasa Inggeris siswazah itu kurang meyakinkan majikan, apa kata ambil kerja dengan syarat iaitu dalam tempoh dua bulan perlu ada peningkatan.

"Maknanya, pekerja baru itu diberi tempoh percubaan. Jika bagus, majikan boleh kekalkan dan jika tiada peningkatan, kita pun tidak ralat majikan tolak," katanya.


Graduan harus miliki sikap penakluk

MASA untuk bergantung kepada kuota semata-mata sudah berlalu kerana konsep pemilihan sekarang adalah berdasarkan merit dan dalam sektor pekerjaan ia membabitkan cara graduan memasarkan diri mereka.

Siswazah mempunyai dua pilihan iaitu menyiapkan diri menghadapi cabaran atau terus ketinggalan dalam arus pembangunan. Sehubungan itu, graduan perlu bertanyakan kepada diri sendiri adakah mereka memiliki ciri penakluk untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa atau masih tergolong dalam kategori sedia ditakluk.

Graduan penakluk adalah mereka yang sudah menyiapkan diri dengan ciri-ciri yang diperlukan oleh majikan, selain memiliki kelulusan akademik membanggakan. Dalam persaingan mendapatkan kerja, kelulusan akademik bukan lagi menjadi kriteria utama sebaliknya ia hanya sebahagian daripada pakej keseluruhan yang diperlukan termasuk kelebihan bahasa, keyakinan diri dan penampilan menarik.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Fadzil Che Din ketika memberi pandangan mengenai masalah yang dihadapi oleh siswazah dalam menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan berkata:

"Graduan jangan beranggapan segala-galanya tersedia untuk mereka. Ada kuota untuk belajar dan ada kuota untuk pekerjaan kerana zaman sekarang berbeza dengan zaman dulu.

"Mereka juga tidak sepatutnya mengejar jawatan tertentu kerana selain terhad, persaingan cukup hebat.

"Sebaliknya mereka perlu memanfaatkan ilmu diperoleh serta mencari peluang pekerjaan lain yang bersesuaian."

Dr Mohd Fadzil yang juga seorang kaunselor berkata, disebabkan cabaran dan persaingan mendapatkan pekerjaan, kematangan dalam memilih bidang kerjaya menjadi begitu penting. Katanya, jika dulu pelajar hanya menanti apa saja yang datang kepada mereka, kini keadaan berlainan di mana mereka perlu merancang apa yang bakal ditempuh.

Contohnya, katanya, perancangan mengenai kerjaya perlu diterapkan di peringkat sekolah rendah bukan menanti sehingga mendapat segulung ijazah baru hendak mencari jawatan sesuai.

"Pelajar kita sekarang main langgar saja. Tamat tingkatan lima barulah hendak cari universiti dan apabila sudah diterima, mulalah hendak fikir kursus apa hendak ambil.

"Selepas tamat pengajian, baru hendak cari kerja. Bagaimana mereka hendak tahu nilai pasaran dan ciri kerja yang ada. Apatah lagi untuk membuat persediaan sesuai dengan kehendak majikan," katanya.

Dr Mohd Fadzil berkata, Malaysia yang bakal menjadi negara maju memerlukan sistem pendidikan berasaskan kepada orientasi bukan semata-mata untuk lulus periksa.

Selain itu, katanya, pendidikan kerjaya hendaklah bermula dari sekolah rendah supaya pelajar tahu apakah yang diperlukan untuk membina sesebuah kerjaya. Faktor lain yang perlu diberi perhatian serius, katanya, ialah tanggungjawab ibu bapa merancang masa depan anak mereka.

Beliau berkata, perancangan bukan bermakna ibu bapa perlu mencorak kerjaya anak tetapi membuat persediaan lengkap termasuk menyediakan pelan insurans pendidikan untuk mereka. Katanya, melihat kepada amalan bangsa lain seperti Cina dan India, walaupun anak masih kecil tetapi kebajikan masa depan mereka sudah terjamin.

Ibu bapa kalangan bangsa Cina dan India katanya, menjadikan simpanan atau pelan insurans pendidikan sebagai satu kemestian sebagai persediaan pendidikan anak mereka. Malangnya, kesedaran itu masih rendah di kalangan ibu bapa Melayu dan disebabkan suka menunggu sehingga saat terakhir, selalu mereka kelam kabut apabila anak hendak melanjutkan pelajaran kerana tiada sumber kewangan sokongan.

IPT wajar tambah mata pelajaran perlu

INSTITUSI pengajian tinggi (IPT) perlu bersedia merombak atau menambah mata pelajaran yang dikira perlu bagi memastikan siswazah yang dilahirkan bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, malah kemahiran lain.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Zaidi Aziz, berkata tindakan itu perlu kerana fungsi IPT sekarang dilihat hanya sebagai pusat menimba ilmu.

Sehubungan itu, katanya, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan pelajar bukan saja dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan, malah kemahiran lain yang boleh membuka mata masyarakat terhadap kelebihan dimiliki siswazah.

Bagi tujuan itu, katanya, perlu ada keseimbangan di antara mempelajari ilmu teori dan praktikal berdasarkan kepada perkembangan semasa dalam bidang yang menjadi tumpuan sekarang.

"Jika kursus yang ditawarkan semuanya disampaikan dalam bahasa Melayu, perlu ada subjek tambahan seperti bahasa Inggeris atau bahasa lain.

"Jika kursus yang ditawarkan tidak mempunyai skop pekerjaan yang luas, perlu ditambah dengan subjek yang memberi peluang pekerjaan sebagai alternatif," katanya.

Sambil tidak menafikan ada pelajar universiti yang bukan saja tidak tahu, malah tidak memahami bahasa Inggeris perkara itu, katanya, perlu dilihat sebagai masalah yang merisaukan oleh pihak universiti.

Mohd Zaidi berkata, adalah sesuatu yang memalukan apabila graduan yang statusnya dipandang tinggi oleh masyarakat mempunyai rasa rendah diri dan malu disebabkan tidak tahu berbahasa Inggeris.

"Itu hanya sebahagian daripada tuntutan dunia pekerjaan sekarang, tidak termasuk kemahiran seperti mempunyai ketahanan diri untuk bersaing sesama mereka dan golongan profesional lain," katanya.

Lagipun, katanya, dalam sektor korporat dan swasta yang menitikberatkan penggunaan bahasa Inggeris, pastinya graduan yang memiliki kemahiran bahasa mempunyai peluang cerah mendapatkan kerja.

Manakala yang tergagap-gagap atau berlagak seperti kera masuk kampung tidak akan dipandang oleh majikan apatah lagi untuk menawarkan sebarang jawatan.

Menyentuh tanggapan bahawa dunia pelajar yang tidak berkembang dan hanya bergaul sesama mereka ketika di kampus menjadikan siswazah takut menghadapi dunia luar, beliau menyangkal pandangan itu.

Bagaimanapun, katanya, memang ada kumpulan yang tidak mahu bersosial menjadikan mereka kaku sehingga menimbulkan banyak masalah apabila keluar ke dunia sebenar yang berbeza dengan kehidupan di kampus.

"Ada pendapat mengaitkan pelajar yang tidak bergaul atau terlalu asabiyah menyebabkan fikiran dan pergaulan mereka tidak terbuka. Bagi saya pendapat itu tidak tepat.

"Apa yang boleh dikatakan, mungkin mereka terlalu memberi tumpuan kepada bidang akademik ketika di kampus dan apabila keluar terkejut dengan suasana yang sesungguhnya memang berbeza," katanya.

Beliau mencadangkan universiti menambah subjek berbentuk kemahiran seperti etika ketika di pejabat dan pengetahuan lain yang sesuai dengan dunia pekerjaan sekarang.

1

0 ulasan: