Thursday, March 19, 2009
Wednesday, February 11, 2009
ISU GRADUAN MENGANGGUR
Dewasa ini semakin hangat diperkatakan mengenai kualiti pasaran graduan hingga menyebabkan lambakan graduan yang menganggur. Berikut adalah beberapa artikel yang sempat cikgu ekstrak dari beberapa laman web untuk bacaan kamu semua. Cikgu rasa topik ini sangat penting memandangkan ia isu yang hangat dalam bidang pendidikan selain dari isu penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains. Kemahiran siswazah tidak tepati kehendak pasaran SISWAZAH kita tidak laku? Kegagalan siswazah mendapatkan pekerjaan walaupun memiliki segulung ijazah menimbulkan tanda tanya adakah mutu siswazah amat rendah sehingga tidak mampu menarik minat pihak syarikat? Atau, adakah bidang yang dipelajari di universiti tidak memenuhi syarat yang dikehendaki pasaran pekerjaan kerana ada pendapat mengatakan kesilapan memilih kursus di pusat pengajian tinggi adalah di antara punca pengangguran siswazah. Persoalan ini mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan lepasan universiti atau yang masih menuntut di institut pengajian tinggi. Tetapi, itulah hakikat yang terpaksa ditelan walaupun pahit terutama jika siswazah tidak memberi perhatian meningkatkan pengetahuan dan kelebihan diri. Ia bukan saja membabitkan aspek menonjolkan diri dari segi kelayakan akademik, malah keyakinan diri, ketrampilan dan kemahiran berkomunikasi. Siapa yang perlu disalahkan jika graduan yang dilahirkan universiti mempunyai perasaan malu tidak bertempat, tiada keyakinan diri, tidak tahu bergaul dan tiada usaha memajukan diri? Kita tidak boleh menyalahkan pihak majikan atau industri kerana sememangnya majikan perlu berhati-hati memilih pekerjaan yang benar-benar layak memandangkan kelulusan akademik belum tentu menjamin mutu kerja yang tinggi. Beberapa teori boleh dikaitkan dengan masalah mengapa siswazah gagal mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian. Pertama, graduan tidak membuat kajian mengenai kursus yang mempunyai nilai pasaran sebelum memilih jurusan yang ingin diambil apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian ting-gi. Ini kerana bidang yang menjadi popular tahun ini mungkin tidak menjanjikan sebarang jawatan apabila mereka menamatkan pengajian nanti, melainkan bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perakaunan yang sentiasa mempunyai nilai pasaran tinggi. Teori kedua ialah graduan tidak mempunyai keupayaan meyakinkan majikan menyebabkan timbul pandangan bahawa mereka tidak mampu menjalankan tugas yang diberi. Selain keputusan cemerlang, graduan harus mempunyai kredibiliti kerja yang tinggi dan ini boleh ditimba melalui pembabitan dalam kegiatan kurikulum tambahan, berpersatuan serta aktif mengikuti program yang dianjurkan di pusat pengajian tinggi. Ketiga ialah pasaran graduan Bumiputera adalah terhad berbanding bukan Bumiputera yang mempunyai monopoli dalam dunia perniagaan. Akibatnya, sama ada graduan Melayu diambil bekerja mengikut kuota kaum yang ditentukan syarikat yang kebanyakan dimiliki oleh bangsa bukan Melayu atau membuktikan nilai pasaran diri untuk berebut dengan graduan bukan Bumiputera. Memang tiada siswazah yang ingin menganggur, tetapi keadaan memaksa ia berlaku dan apa juga alasannya ia memperlihatkan sikap negatif mereka. Siswazah perlu menilai perkara yang sering diungkapkan pihak majikan iaitu tahap mutu siswazah yang tidak menepati kehendak pasaran pekerjaan menjadi punca kegagalan mereka. Perkara ini acap kali dibangkitkan dan ditekankan. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dr Abdul Latiff Ahmad, pernah mengingatkan siswazah menunjukkan tahap keyakinan diri untuk memasuki pasaran kerja. Katanya, di antara kelemahan ketara di kalangan graduan adalah sifat malu tidak bertempat, kurang keyakinan berdepan persekitaran serta tidak mahir berkomunikasi mengikut kesesuaian sekeliling. "Kelemahan graduan sama ada berkeyakinan atau tidak, boleh dikesan sejak sesi temu duga lagi, berdasarkan cara mereka bercakap, menjawab soalan dan gerak badan mereka. "Kalau tiada kemampuan berkomunikasi, mereka tidak dapat membentuk satu budaya kerja dalam berpasukan. Pergi temu duga pun takut hendak bertentang mata dengan orang yang bertanya soalan," katanya. Beliau berkata, masalah ini mungkin menjadi penyebab kepada masalah pengangguran bukan saja di kalangan siswazah dari institusi dalam, malah luar negara. 'Usah tunggu disuap, cipta peluang pekerjaan sendiri' KELULUSAN tinggi semata-mata bukan jaminan untuk mendapatkan pekerjaan, jawatan serta gaji yang tinggi. Apa yang lebih penting, siswazah perlu menggunakan peluang yang diberikan untuk mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Siswazah juga tidak sepatutnya terlalu memilih pekerjaan yang kononnya sesuai dengan tahap kelulusan mereka kerana ada juga pekerjaan di pasaran boleh dilakukan, biarpun tiada kaitan dengan bidang kursus yang diambil. Sikap siswazah lebih rela menganggur daripada melakukan kerja yang tidak diminati atau bergaji rendah jelas menunjukkan sikap tidak matang mereka. Keangkuhan memiliki kelulusan tinggi menyebabkan mereka mengalami kehidupan lebih malang daripada rakan yang hanya memiliki kelulusan sekolah menengah. Kegagalan melakukan pengubahsuaian hanya akan menyebabkan mereka terus ketinggalan dan ditinggalkan oleh arus perubahan yang sedang berlaku khususnya dalam kehidupan serta dunia pekerjaan yang mencabar. Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir yang melahirkan pandangan itu menggesa pelajar membuang tabiat menyalahkan keadaan dan kerajaan apabila gagal mendapatkan pekerjaan. "Mereka tidak sepatutnya menanti disuap atau menunggu kerja datang kepada mereka, sebaliknya berusaha mencipta peluang pekerjaan sendiri. "Setiap pekerjaan mempunyai prospek atau masa depan yang baik dengan syarat ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh walaupun terpaksa bermula daripada bawah. "Nasihat saya agar graduan kita buang sifat ego dan malu untuk melakukan kerja dengan gaji rendah semata-mata hanya kerana mereka lepasan universiti. "Tidak salah biarpun terpaksa jadi pengawal keselamatan, asalkan ada pekerjaan dan pada masa sama sentiasa mencari peluang pekerjaan lebih baik daripada duduk saja," katanya. Mahadzir turut menggalakkan siswazah terutama siswazah Bumiputera menjadi lebih berani dan kreatif untuk meneroka bidang pekerjaan yang baru. Katanya, mereka perlu bersedia mengambil risiko berdepan dengan cabaran apabila menceburi bidang pekerjaan yang tiada hubungan dengan kursus yang dipelajari di institut pengajian tinggi (IPT). Mahadzir berkata, IPT bukan kilang untuk menghasilkan tenaga buruh tetapi berfungsi sebagai pusat ilmu yang melahirkan golongan siswazah berilmu, berkeyakinan dan mampu berdikari. Beliau berkata, asas penubuhan IPT sebagai institusi ilmu yang terunggul harus dipertahankan dan kursus-kursus yang tidak mempunyai nilai komersial tidak sepatutnya diketepikan begitu saja. Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah memberikan penilaian dan pengiktirafan baru terhadap kursus berkenaan mengikut perkembangan zaman dan keperluan pasaran. "Ini sudah dilakukan oleh IPT kerana dari masa ke semasa pihak universiti membuat penyemakan dari segi kesesuaian dan penggabungan kursus oleh jabatan akademik. "Kebanyakan IPT mengakui hakikat kepentingan bahasa Inggeris dan sudah mengambil tindakan perlu memastikan siswazah menguasai bahasa itu," katanya. Beliau berkata, pertambahan bilangan siswazah menganggur amat memalukan dan sedikit sebanyak mencacatkan pandangan terhadap sistem pendidikan negara. Apa pun katanya, setiap pihak terbabit termasuk siswazah dan majikan perlu sedar tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mengatasi masalah ini. Bagi siswazah, tindakan bekerja sebaik tamat pengajian tanpa mengira jenis pekerjaan dianggap satu usaha permulaan untuk merintis kejayaan pada masa akan datang. Sementara majikan pula, walaupun tidak dihalang mengamalkan sikap terlalu memilih patut juga memberi peluang siswazah menunjukkan kesungguhan membuktikan kemampuan mereka. Dalam erti kata lain, majikan perlu menerima hakikat bahawa siswazah yang baru menamatkan pengajian mempunyai kekurangan tetapi boleh diperbaiki asalkan mereka diberi peluang. "Contohnya, penguasaan bahasa Inggeris siswazah itu kurang meyakinkan majikan, apa kata ambil kerja dengan syarat iaitu dalam tempoh dua bulan perlu ada peningkatan. "Maknanya, pekerja baru itu diberi tempoh percubaan. Jika bagus, majikan boleh kekalkan dan jika tiada peningkatan, kita pun tidak ralat majikan tolak," katanya.
MASA untuk bergantung kepada kuota semata-mata sudah berlalu kerana konsep pemilihan sekarang adalah berdasarkan merit dan dalam sektor pekerjaan ia membabitkan cara graduan memasarkan diri mereka. Siswazah mempunyai dua pilihan iaitu menyiapkan diri menghadapi cabaran atau terus ketinggalan dalam arus pembangunan. Sehubungan itu, graduan perlu bertanyakan kepada diri sendiri adakah mereka memiliki ciri penakluk untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa atau masih tergolong dalam kategori sedia ditakluk. Graduan penakluk adalah mereka yang sudah menyiapkan diri dengan ciri-ciri yang diperlukan oleh majikan, selain memiliki kelulusan akademik membanggakan. Dalam persaingan mendapatkan kerja, kelulusan akademik bukan lagi menjadi kriteria utama sebaliknya ia hanya sebahagian daripada pakej keseluruhan yang diperlukan termasuk kelebihan bahasa, keyakinan diri dan penampilan menarik. Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Fadzil Che Din ketika memberi pandangan mengenai masalah yang dihadapi oleh siswazah dalam menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan berkata: "Graduan jangan beranggapan segala-galanya tersedia untuk mereka. Ada kuota untuk belajar dan ada kuota untuk pekerjaan kerana zaman sekarang berbeza dengan zaman dulu. "Mereka juga tidak sepatutnya mengejar jawatan tertentu kerana selain terhad, persaingan cukup hebat. "Sebaliknya mereka perlu memanfaatkan ilmu diperoleh serta mencari peluang pekerjaan lain yang bersesuaian." Dr Mohd Fadzil yang juga seorang kaunselor berkata, disebabkan cabaran dan persaingan mendapatkan pekerjaan, kematangan dalam memilih bidang kerjaya menjadi begitu penting. Katanya, jika dulu pelajar hanya menanti apa saja yang datang kepada mereka, kini keadaan berlainan di mana mereka perlu merancang apa yang bakal ditempuh. Contohnya, katanya, perancangan mengenai kerjaya perlu diterapkan di peringkat sekolah rendah bukan menanti sehingga mendapat segulung ijazah baru hendak mencari jawatan sesuai. "Pelajar kita sekarang main langgar saja. Tamat tingkatan lima barulah hendak cari universiti dan apabila sudah diterima, mulalah hendak fikir kursus apa hendak ambil. "Selepas tamat pengajian, baru hendak cari kerja. Bagaimana mereka hendak tahu nilai pasaran dan ciri kerja yang ada. Apatah lagi untuk membuat persediaan sesuai dengan kehendak majikan," katanya. Dr Mohd Fadzil berkata, Malaysia yang bakal menjadi negara maju memerlukan sistem pendidikan berasaskan kepada orientasi bukan semata-mata untuk lulus periksa. Selain itu, katanya, pendidikan kerjaya hendaklah bermula dari sekolah rendah supaya pelajar tahu apakah yang diperlukan untuk membina sesebuah kerjaya. Faktor lain yang perlu diberi perhatian serius, katanya, ialah tanggungjawab ibu bapa merancang masa depan anak mereka. Beliau berkata, perancangan bukan bermakna ibu bapa perlu mencorak kerjaya anak tetapi membuat persediaan lengkap termasuk menyediakan pelan insurans pendidikan untuk mereka. Katanya, melihat kepada amalan bangsa lain seperti Cina dan India, walaupun anak masih kecil tetapi kebajikan masa depan mereka sudah terjamin. Ibu bapa kalangan bangsa Cina dan India katanya, menjadikan simpanan atau pelan insurans pendidikan sebagai satu kemestian sebagai persediaan pendidikan anak mereka. Malangnya, kesedaran itu masih rendah di kalangan ibu bapa Melayu dan disebabkan suka menunggu sehingga saat terakhir, selalu mereka kelam kabut apabila anak hendak melanjutkan pelajaran kerana tiada sumber kewangan sokongan. IPT wajar tambah mata pelajaran perlu INSTITUSI pengajian tinggi (IPT) perlu bersedia merombak atau menambah mata pelajaran yang dikira perlu bagi memastikan siswazah yang dilahirkan bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, malah kemahiran lain. Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Zaidi Aziz, berkata tindakan itu perlu kerana fungsi IPT sekarang dilihat hanya sebagai pusat menimba ilmu. Sehubungan itu, katanya, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan pelajar bukan saja dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan, malah kemahiran lain yang boleh membuka mata masyarakat terhadap kelebihan dimiliki siswazah. Bagi tujuan itu, katanya, perlu ada keseimbangan di antara mempelajari ilmu teori dan praktikal berdasarkan kepada perkembangan semasa dalam bidang yang menjadi tumpuan sekarang. "Jika kursus yang ditawarkan semuanya disampaikan dalam bahasa Melayu, perlu ada subjek tambahan seperti bahasa Inggeris atau bahasa lain. "Jika kursus yang ditawarkan tidak mempunyai skop pekerjaan yang luas, perlu ditambah dengan subjek yang memberi peluang pekerjaan sebagai alternatif," katanya. Sambil tidak menafikan ada pelajar universiti yang bukan saja tidak tahu, malah tidak memahami bahasa Inggeris perkara itu, katanya, perlu dilihat sebagai masalah yang merisaukan oleh pihak universiti. Mohd Zaidi berkata, adalah sesuatu yang memalukan apabila graduan yang statusnya dipandang tinggi oleh masyarakat mempunyai rasa rendah diri dan malu disebabkan tidak tahu berbahasa Inggeris. "Itu hanya sebahagian daripada tuntutan dunia pekerjaan sekarang, tidak termasuk kemahiran seperti mempunyai ketahanan diri untuk bersaing sesama mereka dan golongan profesional lain," katanya. Lagipun, katanya, dalam sektor korporat dan swasta yang menitikberatkan penggunaan bahasa Inggeris, pastinya graduan yang memiliki kemahiran bahasa mempunyai peluang cerah mendapatkan kerja. Manakala yang tergagap-gagap atau berlagak seperti kera masuk kampung tidak akan dipandang oleh majikan apatah lagi untuk menawarkan sebarang jawatan. Menyentuh tanggapan bahawa dunia pelajar yang tidak berkembang dan hanya bergaul sesama mereka ketika di kampus menjadikan siswazah takut menghadapi dunia luar, beliau menyangkal pandangan itu. Bagaimanapun, katanya, memang ada kumpulan yang tidak mahu bersosial menjadikan mereka kaku sehingga menimbulkan banyak masalah apabila keluar ke dunia sebenar yang berbeza dengan kehidupan di kampus. "Ada pendapat mengaitkan pelajar yang tidak bergaul atau terlalu asabiyah menyebabkan fikiran dan pergaulan mereka tidak terbuka. Bagi saya pendapat itu tidak tepat. "Apa yang boleh dikatakan, mungkin mereka terlalu memberi tumpuan kepada bidang akademik ketika di kampus dan apabila keluar terkejut dengan suasana yang sesungguhnya memang berbeza," katanya. Beliau mencadangkan universiti menambah subjek berbentuk kemahiran seperti etika ketika di pejabat dan pengetahuan lain yang sesuai dengan dunia pekerjaan sekarang. |
Mat rempit kepala angin...
Kajian UKM mendapati pelumba motosikal haram antara penyumbang besar kepada indeks jenayah negara
SEKS di atas motosikal. Suatu yang pelik dan agak mustahil, tetapi bagi sesetengah pelumba motosikal haram atau mat rempit, itu perkara biasa bahkan menjadi kebanggaan kerana ia melambangkan kehebatan sesama mereka.
Tindakan liar dan tidak bermoral itu adalah antara pengakuan mat rempit dan minah rempit berdasarkan kajian terbaru yang dijalankan Ketua Program Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rozimi Ismail.
Kajian akademik pertama mengenai isu mat rempit itu juga mendedahkan peningkatan pembabitan remaja Melayu yang mencapai 95 peratus daripada keseluruhan mat rempit seluruh negara, berbanding kajian kali pertama pada 2002 yang merekodkan 80 peratus.
Dr Rozimi menjalankan kajian mengikut geran penyelidikan UKM secara berperingkat selama enam tahun bermula 2002 hingga 2006 membabitkan tiga tajuk kajian
Kajian pertama bertajuk ‘Mat Rempit dan Hubungan dengan Masalah Sosial (2000 hingga 2002) diikuti kajian kedua bertajuk ‘Faktor Pembabitan Mat Rempit (2003-2004). Seterusnya, kajian terbaru berjudul ‘Pembabitan Mat Rempit dalam Jenayah’ lebih kepada melihat tahap serta jenis jenayah berpunca daripada golongan berkenaan.
Hasil kajian mendapati, 97 peratus daripada mereka disifatkan sebagai ‘kepala angin’ atau sanggup melakukan apa saja untuk mencari keseronokan manakala bakinya kira-kira tiga peratus digelar sebagai mat motor iaitu individu yang benar-benar sukakan motosikal.
Kebanyakan mat motor ini pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lebih kepada mencari keseronokan ketika masa lapang atau melepaskan tekanan menjelang peperiksaan.
“Ramai antara mat rempit yang mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ini membuktikan golongan itu menjadi antara penyumbang besar kepada indeks jenayah negara.
“Kira-kira 24 peratus daripada mereka mengaku pernah terbabit dalam jenayah, misalnya pecah rumah, curi motosikal, kumpulan samseng, vandalisme dan seks bebas.
“Mereka terlalu muda dan masih belum terlewat untuk membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan. Kebanyakan mereka berusia antara 14 hingga 25 tahun dan majoritinya berusia lingkungan 21 ke atas,” katanya.
Usia terlalu muda juga menyebabkan mereka mudah taksub kepada ketua kumpulan terdiri daripada mat rempit senior. Ada antara mereka digelar ‘sifu, abang pendek, abang pendek’.
Tidak menghairankan jika dikaji latar belakang mat rempit, ia menjurus kepada golongan yang datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Logiknya mereka juga mempunyai tahap pendidikan agak rendah dan ada antaranya tercicir daripada pengajian sekolah.
Apa yang mereka tahu ialah mencari hiburan tetapi dengan cara tersendiri yang jelas membahayakan nyawa sendiri bahkan boleh menjadi igauan ngeri kepada pengguna jalan raya lain.
Kebanyakan mereka penganggur yang tidak mempunyai pendapatan tetap, pekerja kilang (bahagian am), mat despatch (penghantar surat), penjual burger jalanan, pembantu bengkel kenderaan dan pelajar (sekolah dan IPT).
Kajian yang dijalankan dengan kerjasama cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga mendapati, 85 peratus daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu atau tamat tempoh sah. Kebanyakan mereka juga sering menggunakan motosikal milik ibu bapa, abang, kawan, syarikat untuk berlumba.
Agak menarik, mat rempit mempunyai sikap setia kawan yang cukup tinggi dan sering mengutamakan kumpulan. Contoh paling mudah ialah jika berlaku kemalangan sama ada ketika operasi atau berlumba, mereka akan melarikan rakan mereka dan motosikal secepat mungkin sebelum dicekup polis.
INFO: Mat Rempit
Kajian:
Kawasan kajian:
Atara geng mat rempit:
Jenis motosikal paling popular digunakan mat rempit:
Cadangan:
1) Mewujudkan tempat aktiviti sesuai untuk mereka seperti litar lumba secara percuma.
2) Menghantar mat rempit menyertai aktiviti atau program yang mampu mengubah tingkah laku mereka dan wujudkan sikap saling menghargai.
Wednesday, February 4, 2009
Sekolahku syurgaku...keranamu aku mampu melangkah ke usim...thanks for smka shams.
1963 ( 1384H )Pertukaran pengetua telah membawa satu perubahan kepada SUMT. SUMT telah membuka ruang kepada pelajar perempuan untuk menuntut ilmu di bawah payungannya. Seramai 20 orang pelajar perempuan telah menjadi kumpulan pelajar perempuan pertama yang belajar di SUMT.
1964 ( 1384H )Tahun berikutnya menyaksikan satu lagi coretan sejarah dalam diari. SUMT telah berpindah ke tapak baru seluas 11 ekar di Jalan Tunku Kurshiah, Seremban. Ketika itu jumlah pelajarnya telah bertambah bilangan kepada 135 orang di mana 90 orang daripadanya adalah lelaki dan 45 orang adalah perempuan.
1977 ( 18377H )Pada tahun ini, SUMT telah diambil alih pengurusannya dari Kerajaan Negeri Sembilan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Berikutan pengambilalihan itu, nama sekolah turut ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Ugama, Seremban (SMKU)
1984 ( 1404H )Bersempena sambutan Jubli Perak pada 21 Julai pada tahun tersebut, nama sekolah sekali lagi ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said (SMKA SHAMS) yang mana ianya telah digunakan hingga ke hari ini. Nama ini tersebut diambil bersempena nama seorang tokoh ulama terkenal negeri, iaitu Sheikh Haji Mohd Said.
2000 ( 1421H ) - Era MillenniumSMKA SHAMS terus melakar sejarah, menempa nama di peringkat kebangsaan dengan pelbagai anugerah. Berkat usaha, doa, tawakkal dan kerjasama semua pihak, kejayaan demi kejayaan terus dicapai oleh SMKA SHAMS.
2005 ( 1424/1425H )Pengetua SMKA SHAMS ketika itu, Hjh. Khuzaimah Bt. Sulaiman telah melakar sejarah menjadi pengetua pertama di SMKA SHAMS yang memangku jawatan Pengetua Cemerlang Jusa C.
2008 ( 1428/1429H )Di bawah pimpinan pengetua Hjh. Wan Ruhayah Bt. Wan Yaakod, SMKA SHAMS telah menerima anugerah "Sekolah Kluster". Anugerah ini telah mengangkat martabat SMKA SHAMS ke pada satu lagi tahap yang lebih baik & tinggi.
Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Sunnah...
Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.
Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.
Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut.
Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.
Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat.
Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34).
Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).
Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263).
Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).
Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama.
Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.
Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.
Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara.
Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.
Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?!
Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis;
Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari).
Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.
Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya.
Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya:
Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).
Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.
Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:
“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).
Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.
Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis.
Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik.
Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis.
Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih).
Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…
Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).
Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh.
Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187).
Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh).
Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya.
Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal.
Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.
Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain baginda bersabda:
Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan.
Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).
Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti.
Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan.
Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.